Isnin, 20 Mac 2017

Nasihat Berguna Yang Aku Dapat Hari Ini.


Seorang Pak Lah membuat aku termenung seketika. Ada 3 perkara yang aku belajar dari beliau. Kenapa aku sebut seorang Pak Lah. Ya...sejak kecil hanya dia seorang tukang gunting rambut aku panggil Pak Lah.

Selama 50 tahun Pak  Lah menabur khidmat gunting rambut. Di Pekan Kupang hanya dia dan anaknya saja melayu tukang gunting rambut yang masih ada. Yang lain lain kedai gunting india. Oh Malaysiaku....boleh juga aku nak sebut Oh Melayuku.

Pagi tadi aku ke kedai beliau dalam pukul 11. Ada seorang  pelanggan sedang diservis oleh Pak Lah, aku bagi salam. Salam dijawab dan aku duduk dikerusi luar kedai beliau. Kedai hanya ditepi rumah. Kedai lama terbakar dulu ni. Sambil menggunting rambut, sambil Pak Lah berceloteh. Terdengar helang di langit berbunyi sayup sayup "heeet...heeet". Pak Lah umur 80 tahun boleh dengar dengan baik...fuhh memang hebat telinga dia.

"Orang zaman dulu yang takdak jam biasanya orang miskin, bila dengar bunyi helang di langit depa dah tau kata pukul 11 pagi (lebih kurang lah). Kalau depa tengah buat kerja, si  isteri akan memanggil suaminya berhenti rehat sebentar kerana hari sudah meninggi" Terang Pak Lah padaku. Ini pelajaran pertama yang aku tak jumpa di tempat lain. Pertama kali dalam hidupku.

Aku memuji Pak Lah kerana dengan usianya yang lanjut, dia masih mampu berkhidmat dengan baik. Aku cuba mengorek rahsianya. "Jangan tidur siang dan jangan minum ais, itu yang Pak Lah jaga dari dulu sampai la ni" terang Pak Lah padaku. Ini pelajaran keduaku. Aku insaf seketika.

Tak lama..baru beberapa ketika Pak Lah menggunting rambut aku, datang seorang tua ingin menggunting rambutnya dan mencukur misai yang nampak tak terurus. Berkain pelikat dan berkopiah...sampai saja di kaki lima kedai dia termengah keletihan. "Pak Lah ooo...aku nak maghi ni pong puah nak suruh ko anak maghi hata, pakat ada kerja belaka. Kah maghi jugak laaa...bergagah jugak bawak keta" rungut orang tua tu. Kesian jugak aku kat dia sebab ada anak tapi tak boleh nak tolong.

Pak Lah meneruskan kerja dia menggunting rambut aku. "Aku ni...nak buat kerja guting rambut ni sapei takdak oghang nak maghi dah ke kedei aku ni. Lagi ada yang maghi lagi tu lah aku guting rambut, kecuali aku mati dulu lah" bebel Pak Lah lagi. Namun aku menanti lagi sambungan dia. "Hak dok maghi ni pong hat lapih aku laa...yang muda muda tak maghi dah sebab dema tak kenal aku ni. Macam mu ni muda maghi sabit kenal aku" Kata Pak Lah kepada ku.

Sambung Pak Lah lagi..." La ni yang dok maghi dulu ni lama tak napak, bila tanya orang, dema beghi thu kata matiii gii dahh...Boleh kata setiap bulan tu ada saja yang dah takdak" Yang ni pelajaran ketiga aku dapat. Setiap kita akan lalui masa senja. Senyap senyap akan dijemput ilahi. Tinggal generasi muda meneruskan legasi kehidupan. Masa tua kita akan tetap kita tempuh. Masanya akan tiba jua. Apakah persediaan yang aku dah buat? Banyak mana dah..? Allahuakbar...selama ni aku lalai juga dengan dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nak Kuat Ingatan...Boleh Cuba Cara Ini

Cuba tip-tip ini apabila ingin mengingati sesuatu yang penting: 1. Mengalihkan perhatian dari diri sendiri . Kita mungkin merasak...